AKHIRULKALAM, TROFI CHALLENGE CUP MILIK KITA!

Kemenangan dramatik. Satu kejuaraan yang dijulang begitu epik. Palpitasi laju berdegup, debaran, seram sejuk dan bermacam-macam perasaan dapat dirasakan sepanjang tempoh perlawanan berjalan.

Lalu perasaan itu dibalas dengan kepuasan tanpa batasan hingga mampu membuat jeritan mega buat setiap penyokong yang menyaksikan perlawanan akhir timbal balik.

Rezeki tidak ke mana, walaupun dihalang dengan apa cara sekalipun, jika ditakdirkan ia milik kita, tetaplah ianya milik kita, jaringan emas Fadhli Shas pada penentuan sepakan penalti keenam telah berjaya menobatkan JDT II sebagai juara!

Ini adalah kejuaraan yang julung kalinya dijulang oleh Johor Darul Ta’zim II (JDT) II. Trofi Challenge Cup akhirnya berjaya dibawa ke bumi selatan untuk kali pertama malah menjadi koleksi terbaharu rak paparan Harimau Selatan.

Imbas kembali, keseluruhan barisan jurulatih dan pemain JDT II sedar bahawa kelebihan satu gol bukan jaminan untuk menjulang kejuaraan. Apatah lagi bertandang di gelanggang lawan dengan beberapa tonggak utama terpaksa digugurkan akibat dibelenggu kecederaan.

Nicolás Alberto Fernández adalah satu-satunya pemain import yang disenaraikan dalam kesebelasan utama sebelum Mohammed Ghaddar hanya dimasukkan pada masa tambahan lanjutan.

Jelas ianya sulit tetapi keseluruhan barisan pemain tetap berjaya mengimplementasi semua strategi yang telah direncanakan oleh ketua jurulatih Ervin Boban.

Haziq Nazli pula dilihat antara watak penting dan mencuri perhatian sepanjang persaingan Challenge Cup musim ini. Statistikal telah membuktikan bahawa benteng terakhir Harimau Selatan ll ini amat kebal dan sukar dibolosi.

Untuk rekod sehingga peringkat separuh akhir, pintu gol JDT II hanya dibolosi empat kali. Reputasi itu terus menjadi kelebihan JDT ll pada perlawanan timbal balik tersebut.

Walaupun bolos pada minit lapan puluh satu namun tiga gol penentuan sepakan penalti yang berjaya dinafikan oleh pemain muda dan aset berharga Harimau Selatan ini benar-benar menakjubkan. Sesungguhnya pemain ini berjaya menunjukkan magis, kematangan serta ketenangan apabila berhadapan situasi getir.

Kerjasama antara pasukan, sentiasa bergandingan bahu walaupun berada dalam situasi genting, tidak menyalahkan antara satu sama lain, efikasi kendiri yang tinggi, sokongan tanpa henti oleh penyokong serta kecaman supra dari pembenci telah diadaptasi dengan baik oleh keseluruhan pemain.

Akhir kata, ucapan sekalung penghargaan kepada ketua jurulatih Ervin Boban, barisan pengurusan dan pemain JDT II kerana kejuaraan ini serta individu terpenting Harimau Selatan iaitu DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.

“Keinginan untuk menang, keinginan untuk berjaya, keinginan untuk mencapai potensi penuh anda. Ini adalah kunci yang akan membuka pintu kepada kecemerlangan peribadi. Simpan mata anda pada bintang dan kaki anda di atas tanah”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.

Tahniah kerana berjaya menjahit mulut pengkritik satu Malaya! Trofi Challenge Cup kini milik JDT II, raikanlah! Luaskan Kuasamu Johor!

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll