AYUH KIBARKAN PANJI MERAH BIRU DI PENTAS AKHIR CHALLENGE CUP 2019

Hanya tinggal beberapa hari lagi berbaki untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) II menamatkan episod dalam persaingan Piala Cabaran Malaysia 2019 yang merupakan edisi kedua kejuaraan tersebut.

Sudah tentu dengan kelebihan satu jaringan yang dibawa ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras nanti menjadi penguat semangat untuk kita meneruskan perjuangan.

Jika dilihat, langkah awal JDT II dalam perebutan Piala Cabaran kali ini amat memberangsangkan. Tiga kemenangan dan satu seri pada peringkat kumpulan, membuktikan bahawa keseluruhan pemain amat fokus dalam mengimplementasikan segala taktikal serta strategikal yang direncanakan oleh barisan jurulatih.

Pencapaian menjadi juara kumpulan juga merupakan perkara yang amat membanggakan memandangkan diletakkan bersama dua lagi pasukan yang mempunyai sejarah gemilang dalam liga utama tempatan iaitu Kelantan dan Sarawak.

Imbas kembali pada musim ini, JDT ll telah berjaya menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Perdana Malaysia, lalu kecemerlangan itu diolah menjadi motivasi untuk keseluruhan skuad bimbingan Ervin Boban supaya terus agresif memberi saingan dalam perebutan Piala Cabaran kali ini.

Apa yang menarik, pasukan yang menyekat kemaraan langkah JDT II di peringkat separuh akhir tahun lepas iaitu UKM FC menjadi halangan terakhir JDT II dalam perebutan kejuaraan kelak.

Pastinya memori pahit itu bakal menjadi pemangkin mencapai matlamat serta membakar api semangat supaya terus marak membara. Ini masa untuk menebus kehampaan. Ini masa untuk merampas segala yang telah dipertaruhkan.

Harimauku, berjuanglah hingga ke saat wisel penamat ditiupkan, jangan gentar dan jangan sesekali ragu. Anda tidak berseorangan, pastinya seluruh penyokong Harimau Selatan akan memberi sokongan padu kelak. Kita bawa piala itu ke bumi selatan!

“Kita mempunyai impian yang lebih bernilai daripada berterusan dibuai tidur. Beranikan diri untuk berusaha mencapai apa yang kita benar-benar inginkan”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Kepada penyokong, ayuh beri kata-kata semangat kepada keseluruhan skuad JDT II!

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll