DARI J UNTUK J

Lebih kurang tujuh bulan yang lalu, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja telah berangkat ke Itali untuk sesi pertemuan bersama Pengerusi kelab gergasi serie-A Itali, Mr Andrea Agnelli bagi membincangkan kolaborasi serta peluang bekerjasama antara Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Juventus FC.

Kesinambungan dari lawatan kali pertama baginda yang menemui jalan dan peluang cerah berikutan falsafah yang hampir sama dari kedua-dua kelab, delegasi JDT kini berada di Turin buat kali kedua untuk mempelajari kaedah-kaedah yang diguna pakai oleh ‘The Old Lady’.

Mengapa Juventus menjadi destinasi seterusnya? Mengapa kelab ini begitu menarik minat DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk dijadikan “Strategic Alliance” dalam pembinaan empayar Harimau Selatan?

KEGEMILANGAN YANG MAHU DICONTOHI

Juventus adalah kelab paling cemerlang dalam sejarah bola sepak Itali. Sebuah kelab yang mendominasi liga di negara itu buat sekian lama. Juventus juga menjadi kelab pertama dalam sejarah bola sepak Eropah yang pernah memenangi kesemua kejohanan utama UEFA.

Berikutan rekod kegemilangan yang dicatat oleh “La Vecchia Signora” ini, ianya menjadi destinasi tepat untuk dijadikan satu lagi destinasi pilihan Harimau Selatan untuk bekerjasama selepas kejayaan JDT mengadakan kerjasama dengan beberapa kelab gergasi dunia pada tahun-tahun sebelum ini.

Imbas kembali sekitar bulan Februari 2016, setelah kejayaan menjalinkan kerjasama bersama Kelab gergasi Bundesliga Borussia Dortmund pada tahun 2015, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah mengadakan lawatan selama dua minggu ke Sepanyol selain Qatar dalam usaha menimba ilmu baru, berkongsi pendapat serta mencari formula terbaik dalam percambahan kelab itu di masa hadapan selain memastikan kemajuan bola sepak negeri Johor.

Selama tempoh lawatan terbabit, baginda telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Paris Saint Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, Josep Maria Bartomeu (Barcelona), Chan Lay Hoon (Valencia) dan Florentino Perez (Real Madrid). Pada tahun itu juga JDT telah memeterai satu memorandum persefahaman bersama kelab J1-League, Hokkaido Consadole Sapporo.

Ianya tidak berhenti disitu, pada tahun-tahun berikutnya, JDT telah berjaya mendapatkan sokongan dari beberapa kelab ternama dunia seperti kelab La Liga, Real Valladolid dan juara bertahan Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester City.

BLUEPRINT PEMBANGUNAN BAKAT-BAKAT MUDA

Juventus sebuah kelab yang berusia lebih 120 tahun. Kelab ini sentiasa memandang kehadapan bagi memastikan sejarah kelab ini sentiasa gemilang. Juventus juga sebuah kelab yang amat menitikberatkan pembangunan akar umbi dalam memproduksikan bakat-bakat baru yang berpotensi.

Bakat muda adalah penyambung kelangsungan kejayaan untuk masa depan. Maka J-Academy adalah satu modul yang mahu dicontohi oleh JDT. J-Academy adalah akademi terbuka yang menghimpunkan bakat muda yang berusia seawal 5 hingga 17 tahun, satu destinasi awal sebelum ke peringkat lebih tinggi.

Di sini mereka dilatih memantapkan lagi teknikal, fizikal, mental dan juga fundamental dalam permainan bola sepak. Terbaru, sekitar bulan Julai 2015, “Scuola Calcio Juventus Italia” telah bermula, projek sekolah sukan bola sepak Juventus yang bertujuan mensasarkan kanak-kanak berumur 5-14 tahun.

Akhir kata, selain perkara yang disebut, beberapa perkara yang terkandung dalam agenda adalah kursus kejurulatihan, pengurusan, fasiliti serta penjagaan stadium adalah ilmu yang bakal dibawa dari Itali.

Semestinya ianya akan memberi inspirasi yang amat berguna dalam perkembangan Harimau Selatan untuk masa hadapan malah akan pasti diadaptasi oleh organisasi JDT di bumi selatan kelak.

Semestinya, tidak syak lagi, ini resiprokal dari J untuk J.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121876"]