DEMI JOHOR! BERSUKAT DARAH, BERTIMBANG DAGING

“Ingatlah bahawa rintangan hanya akan menjadikan kejayaan kita lebih manis. Kita tidak perlu membuktikan apa-apa, tetapi kita perlu memperbaiki segalanya”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Hari Sabtu ini adalah hari penentu sejauh mana kemaraan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia. Peluang ini harus jangan dipersia, misi mara ke pentas akhir bukan lagi satu rahsia.

Kelihatan tugas sukar menanti keseluruhan pasukan, apabila bertandang ke gelanggang lawan. Meskipun masih mempunyai sedikit kelebihan, namun Gergasi itu masih belum benar-benar kita tumpaskan.

Dengan kesedaran tersebut, sudah pastinya keseluruhan barisan jurulatih dan pemain akan berusaha sedaya upaya, mengerah keringat selagi ada daya.

“Ingatlah ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait”

Misi adalah misi, namun disebalik misi tersimpan satu inspirasi. Inspirasi Harimau Selatan bagi mengharungi sembilan puluh minit perlawanan, supaya lancar segala taktikal juga perancangan. Di waktu ini, JDT sebenarnya amat memerlukan semaksimanya sokongan. Sokongan dari kita sebagai penyokong yang amat diperlukan mengiringi perjuangan.

Tidak kiralah selemah manapun pasukan yang bakal dilayan, ataupun sekuat mana pun reputasi kita dalam keterampilan, ianya hanyalah satu tanggapan, dan bukannya kenyataan yang boleh dimuktamadkan.

Sesungguhnya kelebihan sesebuah pasukan bola sepak itu tiada yang tetap jurang dan nisbah. Segalanya sekelip mata boleh berubah, tiada kekuatan yang sentiasa akan kekal, tidak selamanya kejayaan akan dicapai secara pukal.

Dan kerana itulah penyebab penyokong harus sentiasa bersama, kehadiran kita akan menjadi pemacu semangat paling utama.

Akhir kalam, kita tidak boleh sesekali mengubah arah angin, tetapi kita boleh mengubah mimpi menjadi kenyataan. Mimpi seperti bintang, realitinya tidak dapat disentuh tetapi jika mengikutinya, ia akan membawa kita ke tempat yang paling indah.

Mimpi boleh dicapai dengan hanya kewujudan keyakinan dalam sesuatu perjuangan. Oleh itu, lakukan sahaja apa yang harus kita lakukan kerana apabila tiba masanya, kita pasti dapat melakukan apa yang kita ingin lakukan. Demi Merah Biru Luaskan Kuasamu Johor.

Doa dan sokonglah tanpa batasan. Demi Johor. Semangat ini tidak akan luntur!

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.

Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll