ENAM PERKARA YANG MENYEBABKAN PENYOKONG WAJIB HADIR PADA 19 JULAI 2019

Akhirnya, Liga Super Malaysia 2019 bakal melabuhkan tirai. Kesemua pasukan dan kelab yang bertanding telah melalui 21 perlawanan sebelum menamatkan perlawanan terakhir pada minggu ini.

Umum mengetahui, pada tahun ini Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi berjaya mencatat sejarah yang tersendiri apabila merangkul kejuaraan kali keenam berturut-turut. Paling membanggakan, kejayaan ini telah tercatat dalam sejarah bola sepak tanah air secara visual apabila menerima pengiktirafan melalui anugerah ‘Malaysia Book Of Records’.

Berikut enam perkara menarik bakal berlaku pada detik ketika dan selepas perlawanan terakhir Harimau Selatan yang akan berlangsung kelak.

1. PERLAWANAN TERAKHIR LIGA SUPER MALAYSIA DI STADIUM LARKIN

Pada tarikh 19 Julai 2019, bakal tersemat sebuah kenangan manis, apabila Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin akan melalui perlawanan terakhir sebagai gelanggang rasmi JDT di persaingan Liga Super Malaysia. Pada musim hadapan, Harimau Selatan akan bermigrasi ke stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim yang berkapasiti dianggarkan sebanyak 40,000 tempat duduk.

Stadium yang berkeluasan 14 hektar tersebut memiliki kemudahan padang rumput semula jadi yang mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), sistem pencahayaan moden, sistem bunyi dan kemudahan penyiaran yang berkelas dunia.

2. LARKIN SAKSI JDT MENJULANG PIALA LIGA SUPER MALAYSIA BUAT KALI KEENAM

Kali pertama JDT menjulang piala berprestij ini adalah pada tahun 2014. Imbas kembali, persaingan sengit telah berlaku di antara JDT dan Selangor. Ketika itu penentuan siapa juara hanya diketahui pada perlawanan terakhir Liga Super Malaysia. 

Setelah sah dinobatkan sebagai juara Liga Super Malaysia 2014 buat julung kalinya, satu sambutan telah diadakan di Stadium Larkin. Selepas itu, Stadium keramat ini telah menjadi saksi kejuaraan demi kejuaraan yang berjaya digapai oleh skuad Harimau Selatan. 

3. PERARAKAN MENJULANG PIALA LIGA

Sebagai menghargai sokongan tanpa berpenghujung penyokong Harimau Selatan, penyokong akan diraikan secara berganda. JDT akan menerima piala idaman serta igauan semua pasukan dan kelab dalam Malaysia selepas perlawanan menentang Terengganu FC. 

Setelah itu keseluruhan barisan jurulatih dan pemain Harimau Selatan akan dibawa berarak mengelilingi Bandaraya sebelum meraikan secara besar-besaran di Dataran Bandaraya Johor Bahru. 

4. PERTUNJUKAN BUNGA API TERBESAR 

Satu pertunjukan bunga api telah diaturkan khas untuk meraikan sambutan keunggulan Harimau Selatan dalam sejarah bola sepak negeri Johor dan tanah air secara amnya. 

Pertunjukan bunga api secara besar-besaran ini adalah sebagai tanda ucapan terima kasih dari pihak DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor serta pengurusan JDT kepada kesemua penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan serta kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap kelab kebanggaan Bangsa Johor ini.

5. PERSEMBAHAN ARTIS ANTARABANGSA DAN TANAH AIR

Barisan kejurulatihan, pemain serta penyokong akan dihidangkan dengan persembahan artis-artis yang diundang khas untuk bersama meraikan kejayaan JDT. Antara artis yang diundang antaranya kumpulan ‘Hip Hop’ berpengkalan di Kota Kinabalu yang sedang meningkat naik iaitu K-Clique yang dibarisi oleh Noki, Somean, Gnello, Tuju, Fareedpf dan MK. 

American rapper Lil’ Bow Wow juga dijadualkan akan tampil untuk membuat persembahan pada malam tersebut disamping beberapa lagi artis popular tanah air.

6. KEJUTAN BUAT PENYOKONG HARIMAU SELATAN

Pada malam tersebut juga, satu kejutan juga akan diberikan untuk penyokong-penyokong yang hadir ke Dataran Bandaraya Johor Bahru. Satu gimik kejutan istimewa yang dinamik akan dipersembahkan. Satu kejutan yang julung-julung kalinya dikurniakan kepada semua ranting Keluarga JDT. 

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut. Kita raikan bersama kerana piala Liga Super Malaysia masih lagi milik hakiki Harimau Selatan.

Akhir kata, rasionalnya tanda aras dan kejayaan JDT dapat dicapai pada musim ini kerana wujudnya barisan kejurulatihan dan para pemain yang sentiasa bekerja keras, sentiasa mahu belajar dari kegagalan, penyokong yang sentiasa berdiri di waktu susah atau senang dan tidak lupa juga ‘The One and Only’ DYAM Tunku Mahkota Johor. 

Ayuh! Kita Raikan!

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="120859"]