FORMULA CURAHAN KEGEMBIRAAN MENJADI STIMULASI DALAM ORGANISASI JDT

Kolaboratif adalah elemen penting dalam kaedah perubahan landskap, meningkatkan kualiti, serta bagaimana mahu keluar dari tradisi lama bagi sesebuah kelab bola sepak.

Ini jelas terbukti, dengan mengamalkan kolaborasi, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mula mengalami proses mutasi ke arah perubahan yang lebih menakjubkan. Kerana kolaborasi juga, hala tuju, masa hadapan dan kesinambungan kemajuan bola sepak negeri Johor lebih terjamin serta meyakinkan.

Banyak kelebihan yang diperolehi hasil kolaborasi antaranya dari aspek transformasi, infrastruktur, prasarana, pembangunan pemain dan kawalan kewangan. Paling tidak boleh dilupakan dan menjadi ilmu paling berharga, adalah ketika pertemuan bersama Presiden Kelab Catalan, Barcelona FC iaitu Mr Josep Maria Bartomeu.

Baginda mendapat tips-tips yang amat berguna yang menjadi inspirasi, pegangan serta prinsip utuh hingga hari ini dalam membina empayar kelab kebanggaan rakyat Johor ini.

ELEMEN KEGEMBIRAAN DALAM ORGANISASI

Kegembiraan. DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja ada menceritakan bagaimana Bartomeu berkata kepada baginda bahawa kegembiraan adalah kunci kepada kejayaan sesebuah pasukan.

“Semasa lawatan saya ke pusat latihan Barcelona FC, saya berpeluang menyaksikan latihan pasukan utama mereka bersama-sama dengan Presiden, Mr Josep Maria Bartomeu. Bartomeu bertanya kepada saya tentang apa perkara yang paling penting untuk menjamin kejayaan pasukan?

Saya dengan rendah diri menjawab, jurulatih yang baik, kecergasan pemain, kemudahan bertaraf dunia, disiplin dan program akar umbi. Bartomeu berkata, perkara yang paling penting adalah kegembiraan pemain. Tidak ada gunanya mempunyai kemudahan terbaik dan jurulatih yang hebat tetapi pemain tidak gembira bersama pasukan. Apabila pemain tidak gembira, mereka tidak akan memberi 100 peratus aksi terbaik mereka.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

KEGEMBIRAAN MEMBINA SUASANA POSITIF DALAM PASUKAN

Kata-kata dari Mr Josep Maria Bartomeu diadaptasi dengan sempurna oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail. Baginda sentiasa prihatin dan peka dengan situasi serta suasana dalam pasukan.

Aktiviti riadah bersama-sama, kata-kata motivasi serta kekerapan memberi penghargaan menjadi rutin dalam organisasi ini. Impak dari perkara tersebut, keseluruhan barisan pengurusan, jurulatih serta pemain merasakan dihargai lalu menjadi pemangkin dalam kejayaan merealisasikan setiap impian, visi dan tanda aras Harimau Selatan.

DYAM Tunku Mahkota Ismail adalah satu-satunya pemilik kelab yang sering menghabiskan hampir keseluruhan masa yang terluang bersama kelab. Impak dari pengorbanan itu, baginda berjaya membina suasana positif dan harmoni dalam kem pasukan.

Umum mengetahui bagaimana begitu akrab serta rapatnya hubungan antara jurulatih dan pemain ketika latihan rutin berlangsung walaupun keadaan jadual padat menghimpit atau cabaran getir yang bakal dihadapi.

TEMPIAS PRINSIP KEGEMBIRAAN DALAM ORGANISASI

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke satu lagi anak tangga menuju ke arah kemajuan apabila secara rasminya mempunyai Ibu Pejabat JDT (JDT Headquarters) pada hari Rabu, 4 September 2019.

Ibu Pejabat JDT yang terletak di Iskandar Puteri itu tersergam megah dengan rekaan yang cukup eksklusif. Ibu pejabat baharu ini juga akan menjadi pusat pengurusan kelab serta kakitangan pentadbiran.

Kesemua ini diletakkan dibawah satu bumbung selaras dengan falsafah JDT iaitu memupuk semangat kerja berpasukan dan selesa dalam menjalankan tugas hakiki yang telah diamanahkan. Paling menarik, baginda turut mempunyai ruangan kerja di bangunan baharu ini.

Ibu pejabat JDT adalah satu kurniaan dan penghargaan yang cukup tinggi bagi kakitangan peringkat akar umbi. Ini juga adalah bukti DYAM Tunku Mahkota Ismail amat menghargai setiap individu yang berkhidmat dalam organisasi ini. Baginda seringkali berkomunikasi serta mengambil berat tentang perkembangan peringkat pentadbiran.

Akhir kata, tidak disangkal, bukan sahaja barisan pengurusan, pemain dan kakitangan akar umbi sentiasa dikurniakan kegembiraan dari DYAM Tunku Mahkota Ismail, tetapi kita sebagai penyokong juga begitu. Dengan enam kejuaraan berturut-turut serta beberapa kejayaan lain yang telah dikaut menjadikan ia kegembiraan yang tidak boleh digambarkan dengan impresi visual.

Sesungguhnya menyarung jersi Harimau Selatan atau berkhidmat dibawah logo organisasi JDT serta menjadi penyokong kelab unggul ini adalah satu kegembiraan infiniti.

Terima kasih atas kurniaan ini Tunku!

“Adalah sangat penting untuk memastikan pemain dan seluruh organisasi gembira” – DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121919"]