IBU PEJABAT JDT – KEARAH MATLAMAT PENGURUSAN TERBAIK

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke satu lagi anak tangga menuju ke arah kemajuan apabila secara rasminya mempunyai Ibu Pejabat JDT (JDT Headquarters) pada hari Rabu, 4 September 2019.

Ibu Pejabat JDT yang terletak di Iskandar Puteri itu tersergam megah dengan rekaan yang cukup eksklusif. Ibu pejabat baharu ini juga akan menjadi pusat pengurusan kelab serta kakitangan pentadbiran.

Kesemua ini akan diletakkan dibawah satu bumbung selaras dengan falsafah JDT iaitu memupuk semangat kerja berpasukan. Paling menarik, pemilik JDT DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja turut mempunyai ruangan kerja di bangunan baharu ini.

Seperti Juventus HQ di Continassa strict of Turin, pusat pentadbiran JDT juga mempunyai beberapa fasiliti pengurusan yang hampir sama. Imbas kembali, sejak pertama kali contoh lakaran ilustrasi Ibu pejabat JDT ini dipaparkan kepada umum sekitar 10 Jun 2016, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa pembinaan ibu pejabat ini adalah antara usaha baginda untuk mempertingkatkan imej kelab setaraf dengan kelab-kelab besar luar negara.

“Hidup ini ibarat menunggang basikal. Untuk mengekalkan keseimbangan, kita mestilah sentiasa bergerak maju ke hadapan.”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

DYAM Tunku Mahkota Ismail amat memberi penekanan serius kepada gerak kerja profesional dalam usaha-usaha peningkatan kualiti pengurusan dalam organisasi ini. Atas kesedaran tersebut, baginda telah bertindak sedaya upaya menyediakan infrastruktur dan mekanisme paling terbaik bagi mencapai matlamat menjadikan JDT sebagai gergasi baharu benua Asia.

Oleh itu tidak boleh disangkal lagi, dengan wujudnya fasiliti baharu JDT ini pastinya akan meningkatkan lagi prestij pengurusan di sektor pentadbiran dan pengurusan kelab kebanggaan Harimau Selatan ini.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121391"]