JDT, NUMERO UNO!

Kesempurnaan hala tuju, falsafah, aspirasi, reputasi, fasiliti, infrastruktur, dan imej sesebuah kelab akan menjadikan ianya sesuatu yang sentiasa dipandang tinggi.

Faktor tersebut bukan sahaja membuatkan organisasi tidak mengharapkan dana ehsan kerajaan kerana berjaya menarik minat pelbagai penaja dan pelabur, malah mampu memenangi persaingan bagi merebut pemain terbaik dalam dan luar negara.

Pemain pula adalah antara asas teras dalam empayar ini. Pemain yang dipilih menyarung jersi kebanggaan ini juga amat bertuah. Pelbagai penghargaan dari organisasi khususnya kurnia DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja yang telah dirasai berbanding pemain-pemain yang mewakili pasukan lain dalam liga domestik tempatan.

Bayaran setimpal, motivasi, perlindungan, pengalaman, kebajikan serta banyak lagi kelebihan dikecapi di sini. Namun jika dikaji intropeksi kepada faktor ini, ianya dilihat bukan sahaja terbelenggu pada perkara tersebut.

ELEMEN KEKELUARGAAN

Kekeluargaan merupakan salah satu elemen penting dalam fondasi kelab gah ini. Dengan akrabnya ikatan kekeluargaan, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus teguh berdiri.

Berbagai peristiwa suka dan duka yang telah bercampur baur dapat kita rasai sejak kewujudan JDT. Dengan campuran perasaan itu juga kesetiaan kita seringkali diuji. Namun akhirnya, ujian itu telah membuatkan ikatan antara DYAM Tunku Mahkota Ismail, pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong menjadi semakin kuat terikat tanpa tergugat.

Elemen kekeluargaan yang akrab pada setiap ranting dalam kelab ini amat istimewa. Ini dikuatkan lagi apabila setiap pemain yang pernah berada dalam keluarga ini akan berkata bahawa pengalaman bergelar pemain Harimau Selatan adalah sebuah memorabilia paling indah sepanjang karier mereka dalam bola sepak.

Daripada pemain tempatan seperti Safee Sali, Safiq Rahim, Amri Yahaya hingga kepada pemain luar negara seperti Leonel Núñez, Dani Güiza, malah Luciano Figueroa juga telah berkata bahawasanya sekali merah biru selamanya akan merah biru.

Bekas pemain kelab Lazio dan Brescia Calcio dari Itali, Simone Del Nero yang menyarung jersi Harimau Selatan sekitar tahun 2013 juga telah bertindak mencacah tatu berlogo JDT ditangannya menandakan JDT tetap berada dihatinya sampai bila-bila.

HALANGAN TANPA PENGHUJUNG

Apabila kita mula menaiki tangga demi tangga dalam menuju kejayaan, kita pasti akan dihimpit dengan tohmahan, kejian, sindiran juga cacian.

Bentanglah seberapa banyak kebaikan serta impak positif yang telah disumbangkan oleh JDT terhadap bola sepak tanah air, pasti mata-mata mereka tetap buta tidak dapat melihatnya.

Logiknya, akan hadir sekelumit rasa sakit hati dengan apa yang dilemparkan, namun jangan biarkan ia menjadi kudis di dalam hati. Kita sambut segala perkara negatif yang dilemparkan dan diolah sebagai multivitamin untuk menjadi pemangkin dalam perjalanan menggapai kejayaan yang telah diimpikan.

Akhir kata, sedarlah semua penyokong pasukan di Malaysia, celik dan bukalah mata anda seluas-luasnya. Jangan terlalu paranoid dengan JDT, usah sempitkan pandangan dengan satu arah fokus sahaja.

Akurlah, bahawa kami telah jauh meninggalkan semua pesaing dalam negara. Prestij, keunggulan, kebanggaan dan pemburu kejuaraan adalah identiti hakiki Harimau Selatan. Tidak ada yang mampu menduplikasi.

“Mengetahui kebenaran, melihat kebenaran, tetapi masih mempercayai pembohongan. Kejahilan boleh cuba dididik dan tidak waras boleh diubati tetapi, tiada ubat untuk kebodohan.”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll