JDT SIMBOL KEBANGGAAN, BUKAN SEKADAR LENCANA DI DADA

“Kelemahan kita yang paling besar adalah apabila kita berputus asa. Cara yang paling pasti untuk berjaya adalah dengan terus mencuba dan berusaha. Untuk maju ke hadapan, kita hendaklah memulakan langkah. Bermulalah dengan keadaan kita sekarang, gunakan kudrat yang ada, usahakan segala apa yang termampu, dan jangan sekali-kali berputus asa. Luaskan kuasamu Pahlawanku, Hidup Johor Darul Ta’zim. Pasukan kami, keluarga kami.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Tidak berputus asa. Kerana kuatnya semangat dan tidak sesekali berputus asa, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini teguh berdiri berpaksi empayar yang unggul. DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja berjaya mengharungi segala rintangan yang sentiasa hadir menghalang perjalanan Harimau Selatan. Dengan usaha tanpa mengenal erti berputus asa baginda, nama JDT dan Harimau selatan kini menjadi satu simbol kebanggaan.

KEBANGGAAN BANGSA JOHOR DAN NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM

Keputusan mengambil alih PBNJ sekitar penghujung tahun 2012 serta merombak segala sistem lapuk organisasi tersebut menjadi titik tolak bermulanya era kebangkitan bola sepak Negeri Johor. Satu niat yang ditanam oleh baginda adalah mengembalikan kegemilangan bola sepak yang telah lama pupus dalam negeri ini.

Langit yang mendung kembali cerah apabila bermula tahun 2013, jenama Harimau Selatan menjadi sinonim dengan negeri Johor. Apatah lagi sejak tahun 2014, kelab dari selatan ini tidak berhenti mencatat sejarah demi sejarah baharu dalam bola sepak tanah air setelah berpuluh tahun peminat bola sepak di negeri Johor hanya mampu bermimpi tentang kejayaan pasukan Johor serta ralit melihat pasukan negeri lain mendominasi takhta dan singgahsana liga domestik Malaysia.

Rentetan itu, nama JDT sentiasa menjadi kebanggaan. Tidak mengira bangsa, ras dan agama, setiap dari kita bangga memakai jersi rasmi JDT. Logo JDT, warna merah biru serta perkataan Harimau Selatan akan kelihatan dengan mudah dimana-mana sahaja pelusuk dalam negeri ini. Tidak kiralah di pintu gerbang sesebuah daerah, restoran, pasaraya, papan tanda, kenderaan malah ada diterjemahkan kepada warna rumah kediaman.

Bagi orang luar pula, produk berasaskan atau bertemakan JDT dan Harimau Selatan adalah perkara wajib yang harus dibawa pulang sebagai cenderamata kenang-kenangan. Sesungguhnya kewujudan JDT berjaya memperkenalkan lagi nama Negeri Johor pada mata umum.

KEBANGGAAN KAKITANGAN, JURULATIH DAN PEMAIN

Berkhidmat bersama JDT adalah satu cita-cita baharu bagi setiap individu. Tidak kiralah sama ada menjadi jurulatih, pemain mahupun kakitangan sokongan. Paling ketara, bakat-bakat baharu bola sepak tanah air yang berpotensi juga kini dilihat menjadikan JDT sebagai tanda aras dan destinasi yang mahu dituju.

Hakikat yang jelas, menyarung seragam berlogo JDT adalah satu kejayaan dan penghormatan dalam karier setiap kakitangan, jurulatih serta pemain di Malaysia. Ianya kebanggaan infiniti. Satu perasaan yang tidak boleh divisualisasi.

KEBANGGAAN MALAYSIA

Suka atau tidak, kewujudan JDT adalah satu hadiah bermakna bagi bola sepak Malaysia. Dengan adanya JDT, martabat dan nilai komersial Liga domestik berjaya ditambah nilai. Cabaran hebat JDT dalam kemunculan kali pertama dalam Liga Juara-juara Asia juga menjadi titik tolak membuka mata pemerhati bola sepak dunia tentang kuasa baru yang bakal menggoyangkan kuasa-kuasa besar bola sepak Asia.

Usaha gigih DYAM Tunku Mahkota Ismail yang giat mengadakan kolaboratif dengan kelab-kelab gergasi luar negara juga menjadi stimulasi membawa nama Malaysia ke mata dunia secara khususnya.

Suatu masa dahulu, jika diberitahu kepada orang luar bahawa kita berasal dari Malaysia, pasti mereka akan mengaitkan dengan negara yang berjiran iaitu Singapura atau Thailand, kini bila diberitahu dari Malaysia, pasti nama JDT akan menjadi sebutan.

Akhir kata, segala yang dibina oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail adalah tidak mensasarkan kepada keuntungan. Baginda tidak menetapkan sebarang harapan untuk organisasi JDT mengembalikan semula semua pelaburan yang telah dikeluarkan sendiri dari kantung baginda.

Apa yang dimahukan sejak dari dahulu lagi adalah untuk melonjak martabat negeri Johor supaya sentiasa dipandang tinggi. Kewujudan JDT juga secara tidak langsung berjaya memupuk rakyat Johor supaya berbangga dilahirkan di bumi selatan ini.

JDT adalah wadah perjuangan bangsa dan simbol kebanggaan yang hakiki.

“Kegagalan adalah apabila JDT tidak lagi wujud, dan saya berjanji, ianya tidak akan berlaku” – DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121913"]