JOHOR MESTI SENTIASA JADI JOHOR – BAHAGIAN 12

Istana Besar yang merupakan mercu tanda yang sinonim dengan Johor, dibina oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1866. Istana Besar pada awalnya bukan sahaja berperanan sebagai kediaman DiRaja, tetapi juga merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri. Beberapa istana lain dibina dalam kawasan Istana Besar sejak ianya dibuka, ada di antaranya sebagai kediaman kerabat, dan ada pula untuk kegunaan rasmi.

Istana Besar merupakan istana yang paling megah di Tanah Melayu pada masa pembinaannya. Istana ini menonjolkan kedaulatan kepimpinan Raja selain rekaan yang unik dan moden. Istana Besar mempunyai dua laluan masuk utama yang mempunyai tangga agung. Di sebelah Selat Tebrau, laluan menaiki tangga tersebut digunakan semasa zaman bot merupakan satu-satunya pengangkutan yang wujud membawa tetamu dari Singapura ke Johor. Manakala tangga agung yang menghadap dataran dan kebun istana, membawa tetamu terus ke Bilik Singgahsana.

Almarhum Sultan Abu Bakar telah menerima mengadap ramai tetamu dari dalam dan luar negeri di Istana Besar. Diantaranya adalah Prince George Duke of Edinburgh, Prince Albert Victor (cucunda Queen Victoria), dan King David Kalakaua dari Hawaii.

Bersebelahan bangunan utama Istana Besar terdapat sebuah dewan. Dewan tersebut siap dibina pada tahun 1875 dan digunakan untuk majlis-majlis rasmi seperti Hari Keputeraan DYMM Sultan. Sebelum ini Dewan tersebut juga menempatkan Perbendaharaan Negeri dan beberapa jabatan kerajaan yang lain. Di dalam dewan ini juga digantung papan tanda peringatan, hadiah daripada masyarakat Cina Johor.

Di dalam kawasan Istana Besar juga terdapat Istana Zaharah dan Balai Zaharah, yang dinamakan sempena nama Ungku Zaharah, yang merupakan adinda Almarhum Sultan Abu Bakar. Istana tersebut pada mulanya menempatkan kerabat Almarhum Sultan Abu Bakar yang berpindah daripada Telok Blangah ke Johor Bahru. Istana tersebut kemudiannya menempatkan pejabat-pejabat jabatan kerajaan, sebelum ianya berpindah ke Bangunan Sultan Ibrahim pada tahun 1940.

Istana-Istana lain di dalam perkarangan Istana Besar termasuklah Istana Marbal dan Istana Semayam. Istana Marbal dinamakan sempena Marlborough House di London. Ianya pada mulanya didiami oleh Dr. G.H. Garlick, yang merupakan Pengarah Kesihatan pada waktu itu, dan kemudiannya menjadi istana persemayaman Tunku Abu Bakar, putera kedua Almarhum Sultan Ibrahim. Istana Marbal kini menjadi pejabat bagi Pejabat Kebun Bunga Istana Johor. Istana Semayam pula merupakan kediaman Sultanah Fatimah, dan kemudiannya menjadi kediaman Almarhum Sultan Ismail semasa baginda bergelar Tunku Mahkota. Istana tersebut telah dirobohkan dan hanya tangga sahaja yang kelihatan sebagai ingatan istana tersebut.

Kontraktor yang dipertanggungjawabkan membina Istana Besar adalah Wong Ah Fook, yang juga membina Istana Tryesall di Singapura, dan Penjara Ayer Molek.

Hidup Johor Demi Johor
‪#‎KepadaAllahKamiBerserah‬

[related_post themes="flat" id="65943"]