KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM MEMBENTUK IMPIAN MENJADI KENYATAAN

Dalam era pascakebangkitan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), kelab ini dilihat semakin agresif mencapai impian yang telah dicorak oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga merupakan pemilik kelab JDT.

Transformasi, reformasi dan evolusi adalah komponen yang menjadi proposisi penting dalam merealisasikan segala impian seluruh pengurusan, para pemain dan penyokong-penyokong JDT.

1. TRANSFORMASI

Transformasi merupakan komponen paling penting apabila ingin mencapai sesuatu kemajuan. Transformasi atau perubahan juga merupakan satu faktor dan titik tolak dalam bangkitnya Harimau Selatan dari lena yang panjang. DYAM Tunku Mahkota Johor berorientasi menjadikan transformasi bola sepak Johor sebagai satu impian yang tiada berpenghujung.

JDT tetap terus mengalami transformasi dari tahun ke tahun walaupun berbagai-bagai kejayaan berjaya dikecapi. Dengan adanya momentum dalam transformasi, DYAM Tunku Mahkota Johor dilihat sentiasa ingin terus memajukan JDT dan tidak akan membiarkan kelab ini terlalu selesa dibuai kejayaan.

Ini kerana signifikasi falsafah transformasi adalah terus melakukan perubahan daripada satu keadaan baik kepada satu keadaan yang lebih baik.

2. REFORMASI (ROMBAKAN)

Reformasi secara etimologis berasal dari kata “reformation”. Reformasi dalam penstrukturan semula organisasi adalah berkait rapat dengan falsafah “make or become better by removing or putting right what is bad or wrong”.

Semua sedar bagaimana keadaan awal organisasi ini semasa DYAM Tunku Mahkota Johor mengambil alih. Proses reformasi dalam organisasi JDT dahulu adalah proses reformasi yang radikal dan berlangsung dalam jangka waktu yang singkat.

Namun begitu reformasi dalam organisasi JDT melalui proses pembaharuan yang terencana dan sangat teliti. Atas kesedaran tersebut, DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa peka dalam membuat pembaharuan dalam organisasi. Segala perkara negatif dan unsur-unsur yang mencurigakan di dalam organisasi akan segera dinyahaktif.

“Tidak ada individu yang lebih besar daripada kelab” adalah salah satu indikator dalam menjadikan organisasi yang dibina ini mantap dan kukuh. Dengan adanya reformasi ini, sistem sosial organisasi sentiasa di dalam radius yang positif dan terkawal.

3. EVOLUSI

Evolusi bola sepak Johor dapat disaksikan oleh semua penyokong Harimau Selatan. Kita dapat melihat bagaimana evolusi Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, sebuah stadium yang telah berubah rupa menjadi stadium yang paling sempurna di Malaysia.

Kita juga berpeluang melihat bagaimana evolusi padang latihan biasa yang terdapat di Padang Seri Gelam. Kini bukan sahaja memiliki padang latihan yang terbaik tetapi juga terdapat di dalamnya pusat latihan tertutup yang dinamakan Pusat Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor.

Padang latihan tertutup tersebut diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana mengikut spesifikasi dari segi saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.

Kerana fokus serius DYAM Tunku Mahkota Johor dalam evolusi fasiliti dan infrastruktur inilah menjadikan JDT semakin laju meninggalkan pesaing-pesaing mereka dan berdiri sama tinggi dengan kelab-kelab hebat di Asia mahupun dunia.

Dalam perspektif nilai positif, sejak kewujudan JDT turut memberi impak apabila Liga Malaysia juga banyak berevolusi. JDT dilihat sebagai pencetus kesedaran pemikiran “retrogresif Malaya” tentang betapa pentingnya anjakan paradigma. DYAM Tunku Mahkota Johor telah berjaya menjadikan JDT sebagai modul “visioner dan inspirasional” di tanah air ini.

Pada penghujungnya, kecemerlangan dan kejayaan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik. Hanya dengan matlamat sahaja akan berjumpa landasan yang tepat. Jika matlamat jelas, kita pasti mencapainya dengan mudah.

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim akan terus berusaha dan tidak akan berhenti menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik. Demi Merah Biru. Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="114608"]