KELAB JOHOR DARUL TA’ZIM SUDAH BERSEDIA UNTUK MENUNDUKKAN GYEONGNAM FC

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melalui perlawanan terakhir dalam persaingan kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL). Aksi penutup tirai peringkat kumpulan tersebut akan berlangsung di Changwon Football Center, Gyeongsangnam-do, Republik Korea apabila JDT telah dijadualkan bertemu Gyeongnam FC pada hari Rabu, 22 Mei 2019, pukul 6.00 petang waktu Malaysia. 

JDT dilihat optimis untuk melengkapkan jadual perlawanan dengan langkah bergaya walaupun sedar akan berdepan cabaran getir dari tuan rumah.

1. PENENTUAN KEMARAAN

Perlawanan ini adalah perlawanan yang amat penting bagi Harimau Selatan. Umpama penentuan hidup atau mati, hanya kemenangan mampu memberi sedikit harapan untuk JDT maju meneruskan kemaraan. Secara rasionalnya, JDT perlu memberikan sepenuh tenaga, fokus, keyakinan serta keinginan yang kuat bagi merealisasikan misi tersebut. 

Sifir mudah yang diadaptasikan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam Keluarga JDT, iaitu tidak ada istilah mustahil sekiranya kerja keras disulami dengan kesungguhan dalam mencipta inspirasi dan mengimplementasikan aspirasi.

2. REPUTASI HARIMAU SELATAN

Changwon Football Center, Gyeongsangnam-do, Republik Korea adalah ‘football-specific stadium’ berkapasiti sederhana yang mampu memuatkan lebih kurang 15,000 orang dalam sesuatu masa. JDT dilihat mampu memberi tentangan yang sengit kepada kelab wakil Republik Korea ini jika mengambil kira keputusan perlawanan pada pusingan pertama dalam persaingan kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL) melibatkan kedua-dua pasukan pada 12 Mac 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin yang berakhir 1-1. 

Ketika itu, JDT lebih dominan dengan aksi yang memukau setelah menguasai hampir keseluruhan 90 mint perlawanan. Begitu juga dengan reputasi unggul JDT setelah berjaya menewaskan juara bertahan Liga Juara-Juara AFC (ACL), Kashima Antlers 1-0 pada 8 Mei lalu. Ia menjadi elemen utama bahawa kedatangan JDT buat julung kalinya ke stadium ini pasti akan digeruni dan menjadi perhatian sepenuhnya dari media, tabloid serta peminat tempatan. 

3. PENGALAMAN BERHARGA

Umum mengetahui bahawa perlawanan terakhir peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL) ini akan berlangsung pada hari ke-17 bulan Ramadan. Namun seperti yang ditunjukkan pada aksi menentang Kashima Antlers yang juga berlangsung bulan yang sama, JDT dilihat tidak mempunyai masalah dalam risiko kemerosotan prestasi. Keseluruhan barisan pemain JDT sudah tentu bersedia dari segi mental juga fizikal serta berazam tinggi menterjemahkan aksi menakjubkan dan mencatatkan keputusan luar jangkaan pada perlawanan tersebut. 

4. PERUBAHAN IKLIM 

Semenjak dari awal persaingan peringkat kumpulan, perubahan iklim bukanlah sesuatu cabaran yang perlu ditakuti oleh barisan jurulatih dan pemain Harimau Selatan. Rata-rata negara yang menjadi medan pertembungan seperti di Republik Rakyat China dan Jepun mempunyai iklim serta suhu 360 darjah berbeza ketara dengan Malaysia. Ketika itu, JDT dilihat tidak mempunyai masalah untuk memberi tentangan hebat keatas tuan rumah.

Perkara ini dilihat adalah hasil kejayaan DYAM Tunku Mahkota Johor serta pengurusan JDT mentransformasikan Harimau Selatan menjadi sebuah kelab berskala antarabangsa yang mana berkeupayaan menyesuaikan diri dengan apa sahaja perubahan iklim. Perkara ini tidak boleh disangkal lagi setelah melihat keputusan-keputusan mutakhir pada aksi antarabangsa yang dicetak oleh JDT. 

Hakikatnya, JDT berkemampuan tinggi memberi saingan dan menghimpit rapat kelab-kelab elit Asia di dalam perlawanan peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Akhir kata, keyakinan adalah sebuah mobiliti untuk merealisasikan impian, manusia perlu mengumpul sebanyak mana keyakinan serta sentiasa percaya kepada diri sendiri walaupun sedar peluang agak tipis. Semoga Harimau Selatan dapat menutup aksi terakhir dengan jayanya.

Tunggu kami datang Gyeognam!

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu. Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="119466"]