KELAJUAN MAKSIMA REVOLUSI JENAMA DARI SELATAN

Keputusan DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja untuk mengambil alih tampuk organisasi bola sepak negeri Johor adalah gerak langkah paling drastik yang diambil bagi memperbetulkan sistem yang rapuh.

Baginda turut merombak secara total kedaifan yang telah lama membelenggu landskap bola sepak negeri Johor dan telah menegaskan bahawa perkara pertama yang perlu ditambahbaik dan perlu tindakan paling pantas adalah transformasi wajah stadium sebelum jenama Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mahu diperkasakan.

“Saya akan lakukan apa sahaja demi mengembalikan kegemilangan bola sepak Negeri Johor”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

PERUBAHAN WAJAH STADIUM KEBANGGAAN

Masih segar dalam ingatan iaitu ketika bangkitnya Harimau Selatan sewaktu kebanyakan pembangunan stadium-stadium bagi pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga domestik tempatan tidak begitu memberangsangkan. Persatuan atau organisasi yang bertangunggjawab lebih berminat menumpukan fokus untuk mendapatkan pemain yang mempunyai reputasi tinggi dari menambahbaik fasiliti stadium dan padang permainan.

Berlainan pula dari perspektif konteks wacana pemikiran DYAM Tunku Mahkota Ismail, baginda menegaskan bahawa transformasi stadium perlu dilakukan seiring dengan perlumbaan memantapkan pasukan. Untuk membentuk pasukan yang baik, dan meningkatkan konsistensi daya saing pasukan, pusat latihan dan stadium perlu cukup sifat malah wajib mempunyai infra yang sempurna serta padang yang terbaik.

Maka rentetan titah imperatif dari baginda, operasional menambahbaik fasiliti dan padang di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin serta pusat latihan rasmi JDT di Padang Seri Gelam telah dilakukan secara beperingkat bermula tahun 2013.

“Perkara pertama yang saya buat apabila saya masuk ke Larkin, adalah perbaiki padang. Kedua, barulah bilik persalinan, bangku simpanan atau apa-apa yang boleh kita tingkatkan perlahan-perlahan. Tetapi, keutamaan utama adalah padang”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

KEUTAMAAN KUALITI RUMPUT

Dengan segala usaha dan swadaya yang dibuat oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail serta organisasi JDT, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin akhirnya menjadi salah satu stadium yang memiliki padang terbaik di Malaysia malah antara terbaik di Asia Tenggara.

Paling membanggakan, fasiliti di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos menjadi tarikan utama apabila dipilih menjadi destinasi pilihan kelab gergasi eropah iaitu Borussia Dortmund ketika kelab itu melakukan kunjungan pramusim ke Asia Tenggara sekitar tahun 2015.

Mereka telah memilih untuk bermain di Larkin berbanding bermain di stadium baharu Singapura yang serba canggih. Perkara ini menjadi satu pencapaian terbesar dan penghormatan tertinggi buat DYAM Tunku Mahkota Ismail.

“Kualiti padang yang baik dan ianya amat bagus untuk pemain-pemain beraksi di padang yang baik”-Ketua Jurulatih Borussia Dortmund (BVB), Thomas Tuchel.

ERA BAHARU HARIMAU SELATAN

Pada tanggal 24 Januari 2016, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah membawa khabar gembira kepada penyokong-penyokong setia JDT apabila baginda bertitah bahawa DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berbesar hati mengurniakan dana kepada Kelab Bolasepak JDT untuk membina stadium baharu.

Tidak lama selepas dari hebahan tersebut, pada hari Sabtu, 30 Januari 2016, satu upacara majlis pecah tanah pembinaan stadium baharu di Iskandar Puteri telah diadakan.

“Saya ingin menjunjung setinggi-tinggi kasih Kebawah Duli Tuanku di atas kurnia dan keprihatinan Tuanku untuk memberikan dana kepada kelab bolasepak JDT untuk membina stadium baru, saya juga akan mengadakan majlis upacara pecah tanah bagi pembinaan stadium ini pada hari Sabtu ini, 30 Januari 2016 bersama-sama penyokong Harimau Selatan kerana kelab bola sepak ini adalah milik penyokong JDT”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Tanpa sedar, hari telah berlalu dengan pantas. Kini baginda telah membawa JDT memasuki pascabaharu dalam langkah meniti kegemilangan. Stadium Sultan Ibrahim Larkin kini memasuki fasa-fasa akhir sebelum dibuka dengan rasminya tidak lama lagi. Penyokong JDT akan dapat merasai pengalaman dan atmosfera baharu kelak.

Seperti Stadium Larkin, kualiti padang menjadi kebanggaan. Namun apa yang membezakan stadium baharu ini akan menggunakan rumput Zeon Zyosia berbanding Stadium Larkin yang menggunakan dari jenis Axonopus Compressus (AC) ‘Cowgrass’.

Zeon Zyosia adalah zoysiagrass yang mempunyai tekstur halus tetapi amat lasak. Rumput jenis ini juga tidak memerlukan banyak air, khususnya ketika musim kemarau dan amat menjimatkan dari segi kos penyelenggaraan. Kualiti rumput Zeon Zoysia juga jauh lebih baik dari jenis rumput dari keluarga yang sama iaitu Zoysia Matrella Lynn Merr.

Padang yang menggunakan rumput jenis ini juga akan memberi keselesaan kepada pemain dalam mengimplementasikan taktikal jurulatih serta risiko kecederaan yang minimal. Oleh kerana itu, kebanyakan kelab-kelab gergasi dan ternama Asia Tenggara telah mengambil langkah menggunakan jenis rumput ini.

“Jenis rumput yang akan digunakan adalah hampir sama yang digunakan oleh Buriram United, tetapi lebih baik dari segi kualitinya, itu yang saya harapkan, ia dipanggil Zoysia Zeon”-DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Akhir kata, Stadium Sultan Ibrahim adalah mercu tanda terbaharu JDT dan bola sepak negeri Johor secara amnya. Suka atau tidak, realitinya JDT kini tidak perlu malu untuk berdiri sama tinggi dengan kuasa-kuasa bola sepak Asia malahan juga yang bertaraf dunia.

JDT. Sentiasa menuju kehadapan!

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121400"]