KEMBALIKAN SEMULA MEMORI INDAH MERAH BIRU!

Berbaki beberapa hari lagi untuk pertembungan timbal balik aksi pusingan kedua suku akhir Piala Malaysia 2019 akan berlangsung. Palpitasi berdegup laju, debaran kini kian terasa, Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin akan menjadi saksi adakah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus mara melangkah ke peringkat seterusnya.

Semangat, impian, aspirasi, motivasi dan usaha barisan pengurusan, jurulatih serta pemain Harimau Selatan adalah elemen paling penting malah menjadi formula ampuh dalam merealisasikan misi tersebut. Namun semua itu lebih sempurna jika elemen itu terkumulatif bersama sokongan padu dari penyokong setia. Atmosfera Larkin mampat, pasti memberi depresi terhebat buat pelawat.

PENUHKAN STADIUM KEBANGGAAN INI

Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin stadium tersohor. Di sini empayar kebal kelab terhebat Asia Tenggara telah berpaksi. Stadium ini sentiasa menjadi kebanggaan kita, Bangsa Johor secara khususnya.

Suatu ketika dahulu, stadium ini sentiasa padat dan penuh dengan sokongan tanpa prejudis penyokong Harimau Selatan. Keghairahan sentiasa tidak terbendung, stadium sentiasa berpengunjung.

Perkara itu amat dirindui. Ya! Pastinya kita terlalu merindui atmosfera tersebut. Aura penyokong Harimau Selatan sungguh luar biasa. Sangat impresif. Pelawat akan merasa terbelenggu jika stadium ini penuh dengan warna merah biru. Pastinya mereka mental menerima tekanan, fizikal pula automatik lemah tidak tertahan.

Segala taktikal mereka pasti tersekat, gagal dilancarkan, gerak langkah Harimau Selatan semakin yakin hingga kompulsif si lawan mengangkat panji kapitulasi dari terus mencabar perlawanan. Itu semua adalah kelebihan agung kita dahulu. Pada pusingan kedua suku akhir kelak, bolehkah kita kembalikan perkara itu?

GEGARKAN STADIUM DENGAN SORAKAN PADU

Sorakan Larkin. Ia umpama malapetaka buat pelawat yang datang bertandang ke stadium ini. Kerana sorakan padu dari penyokong Harimau Selatan, sembilan puluh minit yang harus mereka lalui umpama satu waktu panjang yang amat menyeksakan.

Paling hebat, Sorakan Larkin juga boleh mempengaruhi dan mengubah seratus peratus aksi pasukan kebanggaan kita ini. Adrenalin pemain semakin meningkat, momentum permainan semakin pantas. Umpama alteratif pemacu nutrisi untuk melonjakkan prestasi, sorakan Larkin bagai multivitamin rahsia Harimau Selatan. Pada pusingan kedua suku akhir kelak, bolehkah kita kembalikan perkara itu?

KIBARKAN MAFLA BERSAMA-SAMA

Mafla dan penyokong adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Ini adalah benda wajib untuk dibawa bersama-sama ketika menyaksikan sesuatu perlawanan.

Dahulu, perkara ini adalah antara salah satu kebanggaan serta menjadi kisah dan naratif bagi mana-mana individu yang hadir ke sini. Sesuatu perkara yang seronok dilakukan bersama-sama. Tua, muda serta anak-anak kecil juga turut sama berganding bahu menjayakannya. Putaran mafla ini juga seperti simbolik betapa akrabnya hubungan antara penyokong dan pasukan yang kita cintai ini.

Paling diingati, putaran mafla itu juga telah menghasilkan satu bunyi desiran yang boleh menggoyahkan semangat serta mengurangkan keyakinan mana-mana pasukan yang datang melawat. Tapi perkara ini antara perkara yang sudah lama ditinggalkan oleh penyokong Harimau Selatan yang hadir ke Stadium Larkin. Pada pusingan kedua suku akhir kelak, bolehkah kita kembalikan perkara itu?

GAMAT NYANYIAN BERSAMA-SAMA

Jika dilihat kembali rakaman-rakaman sekitar tahun 2013-2014, sungguh indah. Ketika satu stadium menyanyi bersama-sama serta menuturkan lirik-lirik yang telah dihafal secara seragam. Ianya mampu membuat pasukan yang bertandang terkesima malah gugup untuk beraksi.

Nyanyian penyokong berjaya menghasilkan satu aura yang boleh meremangkan bulu roma sesiapa sahaja yang mendengar dan menyaksikan perkara tersebut. Gegak gempita, Larkin jadi luar biasa.

Semangat yang lemah kembali membara, peluang yang sempit kembali lapang, harapan yang malap kembali bersinar. Menakjubkan dan ianya pasti sentiasa diingati. Pada pusingan kedua suku akhir kelak, bolehkah kita kembalikan perkara itu?

Akhir kata, kita adalah satu, rantaian yang saling memerlukan antara satu sama lain. Kini sudah tiba masanya yang sesuai dan tepat untuk kita kembalikan semua perkara yang hampir hilang tersebut. Maka bersama kita merealisasikan serta kembalikan memorabilia indah ini.

Semboyan telah berbunyi, bangkitlah penyokong Merah Biruku!

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121712"]