KUALITI KEBANGKITAN HARIMAU SELATAN

Kemenangan. Kemenangan semalam lain dari kebiasaan. Betapa keterujaan seiring dengan kepuasan. Hingga hilang suara kerana sorakan padu memecah kesunyian. 

Imbas kembali, pelawat yang datang berkeinginan besar, mengulangi kemenangan kali ketiga misi mereka sasar, keyakinan tujuh petala langit buat mereka mendabik dada, manakala Harimau Selatan sentiasa dalam situasi berwaspada. 

Satu Malaya diberi harapan, bahawa kunci kemenangan ada dalam kocek rapi disimpan, namun kunci yang dicanang itu tiba-tiba hilang, Harimau Selatan pula menamatkan perlawanan dengan gemilang.

Kebangkitan. Elemen ini paling menarik perhatian. Betapa malam semalam juga berkait rapat dengan kebangkitan. 

“Bangkit dari hilang fokus”

Dari minit keempat hingga berakhir separuh pertama, semuanya kelihatan berjalan seperti direncana. Namun apabila bermula separuh masa kedua, barisan pemain Harimau Selatan kelihatan membuat beberapa kesilapan, kelebihan dua gol dipadam, tiba-tiba PJ City berjaya mengikat kedudukan.

Namun semuanya seakan kembali normal, apabila Harimau Selatan tanpa depresi mampu mengawal, akhirnya tambahan dua gol kita jaringkan, empat dua keputusan mutakhir buat kita meraikan kemenangan.

“Bangkit dalam sokongan”

Sejak dari dahulu lagi, sokongan padu penyokong Merah Biru umpama alteratif memacu swadaya, ia berfungsi sebagai satu transportasi untuk perjalanan Harimau selatan mencatat sejarah. 

Namun pada malam semalam, memang sudah dijangka dalam rasionalnya perspektif, kehadiran penyokong pasti masih lagi pasif. Tetapi jika dinilai dari sudut nilai positif, ada peningkatan yang boleh dikatakan progresif.

Lebih enam ribu tiga ratus penyokong, sorakan tiga kali ganda mereka lontar juga laung, nyanyian penyuntik semangat menggamatkan Larkin, sokongan jitu itulah menjadi pemangkin.

Gamat Larkin umpama penuh rumah keramat, sesungguhnya penyokong berjaya membangkitkan keyakinan dan juga semangat. Percaya atau tidak, seakan aura yang dahulunya hilang malam itu sedikit demi sedikit berjaya diseru pulang, menjadi bukti yang terang tidak sekali sokongan ini akan pernah curang. 

Maka, janganlah lagi dihebahkan oleh golongan yang tiada kaitan, bilamana mulut tempayan kecanduan menjaja isu kurangnya kehadiran, sesungguhnya ini bukan lagi dipandang masalah yang parah, pandailah kami selesaikan sendiri sesama ahli keluarga secara berhemah.

Akhir kalam, tahniah keluargaku!
Dari hari ke hari kita pasti bangkit. Bersama-sama keluarga kecil ini kita berjuang mencapai matlamat, semoga berjaya tamat, kelak hingga ke garisan penamat.

Biarlah kejian dan ejekan menjadi makanan ruji setiap hari, asalkan tidak memalapkan cahaya obor semangat dalam diri. 

Musuh dalam selimut kita lemaskan sampai semput, api dalam sekam kita simbah sampai padam. Jangan kaburkan warna ini, jangan sekali lunturkan warna ini. Selamanya.

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.

Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air. Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll