LAPAN PERKARA DI SEBALIK KEJAYAAN JOHOR DARUL TA’ZIM MEMPERTAHANKAN PIALA SUMBANGSIH 2019

Misi mempertahankan Piala Sumbangsih supaya kekal milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah berjaya direalisasikan. Namun di sebalik tabir kejayaan tersebut, terlihat beberapa perkara yang berjaya diimplementasikan sebelum dan selepas detik kegemilangan tersebut.

1. PENJUALAN TIKET

Perlawanan Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pembuka tirai unifi Liga Super Malaysia 2019 adalah perlawanan tumpuan dan dinantikan oleh para penyokong Harimau Selatan sejak musim 2018 melabuhkan tirainya. Perlawanan pertama ini juga dilihat pembayang bagaimana prestasi dan operasional taktikal pemain dan jurulatih JDT pada musim ini.

Pihak pengurusan JDT dilihat berjaya mengawal penjualan dan mengagihkan tiket kepada penyokong sama ada secara talian atau terus dengan teratur dan lancar tanpa sebarang kekecohan terjadi. Penyokong JDT juga amat menjaga etika serta penuh disiplin ketika pembelian tiket dibuat di kaunter-kaunter yang di sediakan.

2. KEMUDAHAN BAS PERANTARA LOKASI TERPILIH

Pengurusan JDT amat menitikberatkan keselesaan perjalanan penyokong. Atas kesedaran tersebut, pengurusan telah menyediakan bas perantara percuma ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin ketika perlawanan berlangsung.

Dengan mewujudkan kemudahan tersebut, ia telah memberi pilihan alternatif kepada penyokong dari terlibat dari kesesakan lalulintas ketika perjalanan pergi dan balik. Pemilihan lokasi-lokasi seperti Taman Tasek Merdeka, Perpustakaan Awam Larkin, Larkin Sentral dan Perhentian Bas Stadium Larkin merupakan pilihan yang tepat dan betul.

3. PENAMBAHBAIKAN FASILITI DAN KESELAMATAN

Beberapa penambahbaikan fasiliti telah dibuat menjelang perlawanan pembuka tirai Piala Sumbangsih 2019. Ruang Solat berkapasiti besar yang amat selesa memudahkan penyokong untuk menunaikan ibadah solat. Larangan merokok dan bantuan Marshall yang bertugas menjamin keselesaan dan keselamatan maksima kepada penyokong yang hadir. Jaminan seratus peratus telah dijanjikan di mana tiada perkara negatif seperti rusuhan dan kekecohan berlaku sepanjang perlawanan berlangsung.

4. MISI MEMPERTAHANKAN PIALA
SUMBANGSIH

Tarikh 2 Februari 2019 merupakan perlawanan pertama yang ditunggu-tunggu oleh kesemua penyokong Merah dan Biru. Perlawanan tersebut menyaksikan tugas berat keseluruhan pasukan dalam mempertahankan Piala Sumbangsih pada musim 2019. Cabaran pembuka tirai ini adalah cabaran pertama yang menjadi misi dan visi pertama yang perlu mereka sempurnakan walau apa cara sekalipun.

5. SOKONGAN PADU PENYOKONG SETIA

Sebermula perlawanan berlangsung, Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin tidak lekang dan tidak sunyi dengan sorakan sokongan para penyokong Harimau Selatan. Sorakan tanpa henti memberi tekanan kepada pasukan yang bertandang. Sorakan Larkin berjaya memberi suntikan penguat semangat kepada pemain Harimau Selatan di samping menghantui konsentrasi pasukan lawan di dalam memberi saingan kepada Harimau Selatan.

6. PIALA KEDUA BELAS

JDT berjaya mempertahankan Piala Sumbangsih terus kekal di bumi Johor. Seperti diketahui umum, piala ini merupakan piala yang kedua belas berjaya dijulang dalam masa kurang dari 6 tahun penubuhan JDT. Kejayaan pertama musim 2019 ini akan menjadi alteratif kepada Harimau Selatan supaya terus agresif dalam pemburuan merangkul seberapa banyak kejayaan.

7. KEMENANGAN KEDUA PULUH BERTURUT-TURUT

Kejayaan menundukkan pasukan Perak ” The Bos Gaurus” merupakan perlawanan kedua puluh berturut-turut di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos. Kemenangan berturutan di laman sendiri ini juga adalah bukti jelas bahawa integrasi dalam sokongan menginterpretasikan sebuah kejayaan.

8. DIRAIKAN BERSAMA LAGENDA BOLA SEPAK DUNIA

Kejayaan JDT amat bermakna apabila disaksikan sendiri oleh lagenda bola sepak dunia Luis Figo. Kemeriahan, aura dan atmosfera Stadium Larkin berjaya membuka mata kepada beliau bahawa JDT adalah kelab kerdil yang mempunyai cita-cita tinggi. Beliau memuji segala bentuk usaha dalam inovasi, prakarsa dan proposisi yang termanifestasi dari inspirasi DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor serta mengakui bahawa DYAM Tunku Mahkota Johor adalah pemikir genius bola sepak yang eksistensi di bumi Johor Darul Ta’zim.

Akhir kata, kejayaan pertama pada musim baharu ini adalah satu bentuk salam pengenalan kepada semua pemerhati, pengkritik dan pesaing setia Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Ia juga boleh dijadikan indikator kepada mereka bagaimana fokus dan seriusnya DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mahu menjadikan JDT kekal mendominasi Liga Domestik buat sekian kalinya.

JDT ‘underdog’? Ya, masih lagi ‘underdog’ dalam kelas tersendiri! Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="115906"]