LAPAN PERKARA MENGENAI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM YANG MENJADI PERHATIAN PENYOKONG BOLA SEPAK MENJELANG MUSIM BAHARU

Musim 2019 Liga Malaysia akan bermula tidak lama lagi. Penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti tidak sabar menanti wajah baharu Harimau Selatan. Dalam diam juga ianya menarik perhatian seluruh pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan yang turut sama menunggu detik tersebut.

Berikut merupakan LAPAN perkara yang dilihat menjadi tumpuan utama;

1. SENARAI LENGKAP PEMAIN TEMPATAN

Senarai lengkap pemain tempatan yang bakal dimuktamadkan kelak amat dinantikan oleh semua pihak. Dengan senarai yang dikeluarkan tidak lama lagi, sudah pasti ianya memadamkan secara total segala spekulasi. Penyokong, pemerhati dan pengkritik bola sepak tempatan akan dapat melihat pemain mana yang disahkan menyertai atau meninggalkan kem Harimau Selatan. Realitinya, barisan pemain yang menyarung jersi merah biru kali ini adalah lebih mantap bagi mengharungi cabaran musim 2019.

2. SENARAI LENGKAP PEMAIN LUAR NEGARA

Perkara ini juga menjadi satu perkara yang amat ditunggu. DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dilihat akan membawa pemain-pemain luar negara yang berkualiti dan bertaraf dunia ke JDT. Pemain-pemain luar negara yang dipilih ini juga akan dipastikan mempunyai karisma, abiliti, kreativiti dan kredibiliti melebihi pemain tempatan. Senarai lengkap pemain luar negara ini akan diumumkan tidak lama lagi.

3. REKAAN JERSI BAHARU

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menjadi kelab pertama di Asia Tenggara yang menerima kit jersi tajaan NIKE yang direka khas oleh Ibu Pejabat NIKE di Amerika Syarikat mulai tahun 2019. Reka bentuk ini melibatkan rekaan untuk jersi ‘Home’ dan ‘Away’ sekaligus menjadikan penampilan pertama JDT di saingan juara-juara AFC 2019 mahupun saingan Liga Super Malaysia musim 2019 lebih eksklusif. Seperti biasa, satu acara rasmi mengumumkan jersi yang bakal digunakan oleh JDT diadakan serentak di serata daerah seluruh negeri Johor.

4. IMPLEMENTASI TAKTIKAL DAN FORMASI

Corak taktikal, strategi dan formasi JDT juga akan menjadi perhatian. Gandingan pemain dan konsistensi formasi setiap perlawanan bakal menjadi fokus utama. JDT amat serius untuk mengekalkan kejuaraan kali keenam Liga Super 2019 dan memastikan dapat bersaing sengit pada penampilan buat julung kalinya bersama kelab-kelab hebat di Liga Juara-juara AFC (ACL) kelak.

5. INTERPRETASI ANALITIKAL MELALUI PERLAWANAN PRA-MUSIM

Perlawanan pra-musim akan diaturkan setelah semua pemain kembali ke kem latihan beberapa hari lagi. Perlawanan pra-musim adalah medan untuk memupuk persefahaman antara pemain, menguji taktikal dan juga keampuhan strategi barisan kejurulatihan. JDT bakal bertemu dengan kelab-kelab hebat serantau bagi persediaan awal sebelum Liga Malaysia membuka tirai.

6. PERLAWANAN PERTAMA DI STADIUM TAN SRI DATO’ HAJI HASSAN YUNOS, LARKIN (MENGEKALKAN KEJUARAAN PIALA SUMBANGSIH)

Perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia 2019 di jadualkan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Misi mengekalkan Piala Sumbangsih di negeri Johor dan mengutip 3 mata pertama akan menjadi misi pertama untuk tahun 2019. Seluruh penyokong Harimau Selatan sudah pasti teruja dan tidak sabar menunggu detik perlawanan ini. Pada perlawanan itu juga, kerinduan terhadap Sorakan Larkin akan terubat.

7. PENAMPILAN SULUNG DI LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)

Penampilan sulung barisan pemain JDT dalam persaingan kelab-kelab elit di Liga Juara-Juara AFC (ACL) akan menjadi tumpuan. Seluruh Malaysia bakal menyaksikan JDT mendukung tugas berat membawa nama negara. Nama JDT juga bakal disebut-sebut oleh seluruh pemerhati bola sepak seluruh Asia. Sudah pasti kita mahu melihat JDT bersaing sengit dan melangkah lebih jauh dari tanda aras yang ditetapkan.

8. PESAING BAHARU JDT DI LIGA SUPER MALAYSIA 2019

Setiap kali musim berganti, setiap itu juga pesaing JDT akan bertukar. JDT sudah pasti bersedia berdepan dengan mana-mana pasukan atau kelab kelak. Misi mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam menjadi sasaran baru JDT pada musim hadapan di samping berusaha keras merampas beberapa kejuaraan liga Malaysia yang bakal dipertaruhkan.

Akhir kata, Harimau Selatan pastinya sentiasa bersedia… adakah anda juga sudah bersedia? Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="114637"]