LIMA PERKARA YANG TIDAK BERGANJAK DALAM HALA TUJU JDT SEJAK DARI TAHUN 2013

Sejak penjenamaan semula JDT pada tahun 2013, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja bukan sahaja telah mentransformasikan kelab yang membawa panji Negeri Johor, malah telah berjaya mengubah secara drastik landskap bola sepak Malaysia. 

Kewujudan JDT juga dilihat secara tidak langsung telah memaksa semua pasukan dalam liga domestik untuk memberikan lebih tumpuan yang serius dalam persaingan merebut kejuaraan. Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh baginda berkenaan hala tuju dan falsafah Harimau Selatan antaranya;

1. KEJAYAAN BUKAN SEKADAR MERAIH PIALA, TETAPI JUGA BERKENAAN KONSISTENSI DALAM PERSAINGAN MEREBUT KEJUARAAN

Ini adalah perkara yang diletakkan pada tangga pertama dalam hala tuju Harimau Selatan setiap kali musim baharu berganti. Harimau Selatan akan berusaha dan bekerja keras bagi menempatkan diri dalam apa sahaja saingan dan kejohanan yang ditandingi. 

Imbas kembali, konsistensi JDT diuji hebat pada tahun 2019 berikutan susunan jadual yang ketat dan padat. JDT terpaksa mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) ketika persaingan Liga Super Malaysia 2019 sedang rancak berlangsung. Namun semuanya dapat ditempuhi dengan jayanya, malah JDT berjaya memberi tentangan sengit dalam penampilan kali pertama dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) serta beraksi cemerlang dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali keenam. 

Di situasi terkini pula, JDT berada pada kedudukan yang baik dalam memberi depresi kepada kelab-kelab yang berebut tempat ke peringkat seterusnya dalam kejohanan tertua Asia iaitu Piala Malaysia 2019.

2. MEMPUNYAI PEMAIN YANG BERKUALITI TINGGI DALAM PASUKAN

Ini adalah tanda aras serius yang telah diletakkan dalam organisasi Harimau Selatan. DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengharapkan supaya JDT menjadi ‘transit ekspress’ kepada pemain-pemain muda yang mempunyai cita-cita menggunung dalam memperkembangkan karier. 

Beberapa pemain tempatan JDT dilihat mempunyai kualiti setanding pemain gergasi bola sepak Asia, dan menjadi perhatian pemerhati-pemerhati bola sepak serata benua Asia secara khususnya. Liga Juara-Juara AFC (ACL) menjadi batu loncatan dan platform dalam melonjakkan nama pemain-pemain tersebut.

3. KEMUDAHAN BERTARAF DUNIA 

DYAM Tunku Mahkota Ismail akan sentiasa memastikan JDT kerap berinovasi dari satu peringkat ke satu peringkat. Baginda juga mahukan JDT tidak dibelenggu dengan idea-idea lapuk sehinggakan mengakibatkan kelab ini semakin jauh ketinggalan dari kelab-kelab lain di Asia.

Terbaharu, Harimau Selatan telah menjadi pasukan pertama di Asia Tenggara memiliki sendiri mesin ‘Infrared Sauna Therapy’.
Mesin tersebut kini telah siap sedia digunakan di kompleks latihan Padang Seri Gelam. 

Sebelum ini ‘Saliva Testing Kits’, ‘Super Inductive System’, ‘Hypervolt Vibration Massage Device’, ‘Hydrotherapy Machine’ dan ‘Smartspeed System Gates’ telah dibawa melengkapi pusat latihan rasmi lantas menjadikan pusat latihan JDT sebagai antara pusat latihan paling sempurna dalam Asia.

4. PROGRAM PEMBANGUNAN AKAR UMBI YANG BERTERUSAN

JDT telah menjadi sebuah organisasi yang kini perlahan-lahan membina tapak yang kukuh untuk masa hadapan. Program pembangunan akar umbi yang impresif dilihat akan berjaya melahirkan bakat-bakat baru dalam bola sepak tanah air. Aplikatif yang diadaptasi dari kuasa-kuasa besar bola sepak dunia menjadikan program pembangunan ini begitu sistematik dan berjalan dalam hala tuju yang jelas.

Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim juga mengakui keberkesan program akar umbi JDT. Beliau menyatakan bahawa akademi JDT ini amat tersusun, menepati kehendak bola sepak moden malah dengan penuh keyakinan beliau menegaskan bahawa Akademi JDT merupakan antara akademi terbaik di Asia Tenggara. 

Beliau juga mengesyorkan mana-mana pemain remaja yang berhajat untuk meneruskan karier profesional dalam sukan bola sepak agar menyertai Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

5. PARA PENYOKONG YANG TEGUH DAN SETIA 

Walaupun mengalami beberapa isu yang menggoncangkan hubungan antara kelab dan penyokong, namun semuanya masih dalam keadaan terkawal. Penyokong masih lagi menyayangi kelab ini sepenuh jiwa dan sentiasa mahu melihat kelab ini melebarkan sayap sejauh mana yang mungkin. 

Rasa sayang, cinta, kasih kepada kelab yang menjulang martabat Bangsa Johor ini masih menebal dan tidak kurang walau sedikit. Tinggi harapan baginda melihat penyokong sentiasa bersatu dalam apa sahaja situasi sekalipun. Sesungguhnya baginda mahukan ikatan Keluarga JDT ini sentiasa teguh dan kuat. 

Dengan sokongan tidak berbelah bahagi, panji Merah Biru ini tetap unggul berkibar gah mendominasi. Harimau Selatan sentiasa bergerak dengan efikasi diri yang tinggi dalam gerak langkah memburu kejayaan demi kejayaan. 

“Dengan limpah kurnia Allah dan sokongan rakyat Johor sekalian, Insya-Allah, saya akan melabur dan berusaha dengan lebih gigih lagi demi bola sepak Johor. Semakin saya matang dan berilmu, begitulah juga bertambahnya kekuatan pasukan kita”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121145"]