MERAH TAK KABUR, BIRU TAK LUNTUR

Jam di tangan menunjukkan lapan setengah, setengah jam sebelum perlawanan penting menentang Lagenda Malaya akan menjengah. Ketika itu, Stadium Larkin umpama gunung berapi Tambora, hangat bahang terasa kerana semangat kita semua amat membara.

Dengan yakin saya menyatakan hipotetikal, dengan atmosfera sebegini, pasti membantu Harimau Selatan secara total, JDT pasti keluar dari sempitnya kubikel, tiga mata pasti kita angkut secara pukal.

Apabila wisel saat pertama ditiup tanda pertembungan bermula, bagai X15 hipersonik setiap posisi laju pantas terus menerjah, pantang patah ditengah, serangan dipacu tanpa berlengah, Gergasi Merah tersentak lalu pucat lesi hingga hilang segala darah. 

JDT terus fokus untuk memandang kehadapan, indikator gol awal menjadi analitikal perancangan, benteng mereka perlu segera digempur dan juga diruntuhkan, sebagai multivitamin nutrisi untuk seluruh pasukan.

“Keputusan mutakhir”

Keputusan akhir kita menang tiga dua. Khabar gembira ini akhirnya menutup kisah dan cerita. Ngauman Selatan lawan gerun tidak terbendung. Sembilan puluh minit kelihatan sering bertahan satu kampung.

Rasa bersyukur tiga gol gawang mereka bolos, namun dihalalkan bila dua gol situasi mati pasukan lagenda dapat tembus. Rekod kebal Harimau Selatan sekali lagi dapat dikekalkan. Malam tadi sekian kalinya kita raikan satu kemenangan.

Harus diakui, Gergasi Merah hadir dengan misi luar biasa. Segala harapan yang dikirim oleh pembenci satu Malaya. Namun semuanya telah hancur punah ranah, maka hati yang rosak semakin parah luka bernanah. 

“Swadaya Unggul”

Rasionalnya kemenangan kali ketiga belas Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim memperlihatkan kita proaktif semakin laju melangkah. Namun disebalik keputusan mutakhir tersebut, sebenarnya naratif ekspedisi Harimau Selatan baru sahaja bertemu mukadimah. 

Semarak semangat Merah Biru dalam kokurensi telah mencipta kontigensi, membuktikan bahawa langkah kejuaraan kali keenam Insya-Allah bukan lagi satu delusi. Kita menang dengan penuh rasa kebanggaan, betapa tiga mata ini, kita kaut dalam masa yang amat tepat dan bersesuaian.

“Gah bertakhta atas singgahsana”

Bukan sengaja mahu mendabik dada, namun kontradiksinya Harimau Selatan terbukti hampir tidak boleh dicabar dalam takhta, tujuh belas perlawanan kita masih gagah di persada, setiap kokurensi rata-rata pencabar krusial dengan tekanan, hingga suatu masa, memaksa pesaing rapat merasa begitu peritnya menggugat kedudukan.

Jarak tiga belas mata laju bak Hayabusa, musim ini Harimau Selatan agresif sungguh luar biasa. Namun semua itu tidak boleh buat kita terlalu rasa hebat, seperti titah Tunku, kita baharu tiba mukasurat satu dalam hikayat. 

Secara realitinya, perjuangan masih belum tamat, tetapi keterampilan JDT semakin hari semakin sukar dihambat, satu fakta yang tidak perlu lagi berani untuk diperdebat. 

Apa sahaja reputasi kelab gergasi, kita hadapi dengan tingginya efikasi. Katakan sahaja apa rintangan, dengan yakin seluruh pasukan meneruskan perlawanan. Provokasi dan cemuhan sebelum pertembungan? 

Kita masih berjaya mendominasi seluruh perlawanan. Senjata rahsia kononnya dalam struktural formasi? Kita jadikan tikus makmal eksperimentasi taktikal ketika beraksi.

Akhir kalam, sekali lagi kita berjaya menutup mulut-mulut murai yang sering berbunyi, hanya tinggal sedikit masa lagi suasana bising serta merta akan menjadi sunyi, walaupun kejian dan ejekan menjadi makanan ruji setiap hari, sedikit pun tidak memalapkan cahaya obor impian dalam diri. 

Kemenangan ini kemenangan kita semua, teruskan fokus dan jangan sekali berhenti berdoa. 

Masa itu hampir tiba.

“Biar mati dalam tempur, jangan mati dalam dengkur”.

Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.

Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="120107"]