PERKARA-PERKARA MENARIK MELIBATKAN JDT SEPANJANG APRIL HINGGA MEI 2019

Tahun 2019 kini sudah tiba pada fasa pertengahan tahun. Cabaran Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL) pula sudah tamat dan persaingan Liga Super Malaysia 2019 kini hanya berbaki hanya tujuh pusingan. Imbas kembali beberapa perkara menarik telah berlaku sepanjang bulan April hingga Mei 2019 yang melibatkan JDT.

1. MENGHARUNGI JADUAL PADAT

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menempuhi jadual yang begitu padat sepanjang bulan April hingga Mei 2019. Untuk makluman, sepanjang bulan tersebut JDT telah melalui 13 perlawanan iaitu lapan perlawanan melibatkan persaingan Liga Super Malaysia, empat perlawanan melibatkan cabaran peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan satu melibatkan pusingan ketiga Piala FA Malaysia 2019.

2. AKSI MENAKJUBKAN DALAM PERSAINGAN LIGA SUPER MALAYSIA 2019

Keseluruhan barisan kejurulatihan dan pemain JDT telah menunjukkan komitmen serta konsentrasi yang menakjubkan dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 setelah mencatat tujuh kemenangan dan hanya satu keputusan seri tanpa kekalahan sepanjang aksi yang dilangsungkan pada bulan April hingga Mei 2019. Sebanyak 17 jaringan telah berjaya dijaringkan dan menyaksikan gawang gol JDT hanya mampu dibolosi sebanyak empat kali dalam tempoh dua bulan tersebut.

3. MENGEKALKAN REKOD KEBAL LARKIN

Sepanjang bulan April hingga Mei 2019, rekod kebal Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada persaingan Liga Super Malaysia kekal tidak tercalar. Bagi bulan tersebut, empat kemenangan mutlak telah dicatat dimana sepuluh jaringan berjaya dihasilkan. Gawang gol JDT pula kelihatan amat kebal di stadium ini apabila sudah tidak dibolosi lebih daripada satu bulan. Kali terakhir gawang gol JDT dibolosi adalah pada 20 April 2019 ketika perlawanan JDT menentang PKNS FC dengan keputusan mutakhir JDT menang 3-1.

4. GONZALO CABRERA DAN DIOGO LUIS SANTO SENJATA AMPUH

Berakhir sahaja perlawanan ke-15 bagi persaingan Liga Super Malaysia 2019, JDT harus berbangga setelah dua pemain Harimau Selatan iaitu Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo bersaing sesama sendiri dalam senarai penjaring gol terbanyak Liga Super Malaysia bersama dua lagi pemain lain. Mengikut kiraan gol terkini Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo telah menghasilkan lapan gol setakat ini.

Rekod ini membuktikan bahawa pemain-pemain JDT amat tajam dan berkesan untuk menghasilkan jaringan. Perkara ini begitu membanggakan namun begitu JDT lebih menitikberatkan semangat kerja berpasukan dan kerjasama yang unggul dalam kem Harimau Selatan supaya menjadi fokus paling utama berbanding rekod pencapaian peribadi pemain.

5. ‘CLEEN SHEET’ TERBANYAK

Nama penjaga gol nombor satu JDT iaitu Farizal Marlias juga dilihat kini berada pada prestasi memberangsangkan setelah tersenarai dalam kedudukan pertama bersama tiga lagi penjaga gol pasukan lain dalam senarai ‘Clean Sheet” terbanyak Liga Super Malaysia 2019. Pencapaian ini dilihat menjadi lonjakan semangat untuk Farizal meneruskan aksi cemerlang dan konsisten dalam mempertahankan gawang gol Harimau Selatan dalam perlawanan yang berbaki kelak.

6. MENEWASKAN JUARA BERTAHAN LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)

8 Mei 2019 merupakan detik di mana satu peristiwa yang pastinya tidak akan dilupai apabila JDT berjaya meleburkan keegoan juara bertahan Liga Juara-Juara AFC ( ACL), Kashima Antlers dengan jaringan 1-0. Lebih manis lagi, kemenangan ini diraih pada bulan Ramadan dan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos.

Jaringan tunggal Syafiq Ahmad akan sentiasa diingati oleh semua penyokong Harimau Selatan malah menjadi pencetus keyakinan serta kebangkitan skuad Merah Biru sekiranya ditakdirkan berpeluang sekali lagi beraksi di kejohanan elit benua Asia ini kelak.

7. TIADA ROMBAKAN PEMAIN DALAM JENDELA PERPINDAHAN KEDUA

Jendela kemasukan pemain baharu telah ditutup pada 29 Mei 2019 setelah dibuka pada 2 Mei 2019. Pengurusan JDT telah membuat keputusan untuk mengekalkan barisan sedia ada dan tidak mendaftarkan sebarang nama baharu menyarung jersi kebanggaan ini. Tindakan ini menjelaskan bahawa barisan pengurusan terutamanya DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor berpuas hati dengan komitmen dan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh barisan pemain sedia ada.

8. KHIDMAT MASYARAKAT DAN KEPRIHATINAN

Walaupun harus menjalani sesi latihan intensif tidak kira waktu siang atau malam serta tempoh rehat yang minimum sepanjang bulan April hingga Mei 2019, pengurusan JDT serta para pemain tetap tidak mengabaikan tanggungjawab sosial serta prihatin kepada golongan-golongan yang memerlukan.

Perkara ini dibuktikan setelah barisan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mengunjungi Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas, Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah dan beberapa penduduk di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, Johor pada bulan Ramadan.

Dalam kunjungan tersebut, para pemain serta barisan kejurulatihan telah meluangkan masa beramah mesra dan memberikan sumbangan sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma kepada golongan yang kurang bernasib baik di lokasi tersebut.

Usaha ini merupakan sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sering diadakan oleh kelab bagi membantu dan menggembirakan golongan-golongan kurang berkemampuan, anak-anak yatim dan lain-lain.

Nilai positif yang diilhamkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor dilihat sebagai satu usaha murni yang patut dicontohi. Program ini juga telah memberi pengalaman baharu kepada pemain-pemain luar negara JDT seperti Mauricio Santos, Diogo Luis Santo serta Gonzalo Cabrera.

Akhir kata, sudah pasti sebaik sahaja tamat tempoh cuti ini, para pemain JDT akan kembali dengan penuh motivasi, keazaman, semangat dan komitmen yang amat tinggi serta agresif dalam misi memburu kemenangan demi kemenangan. Luaskan Kuasamu Johor.

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="119835"]