TANPA JDT ADAKAH IANYA AKAN TERJADI?

“JDT THE PIONEER” – Satu gelaran yang amat tepat bagi membayangkan pencapaian hebat Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Senarai panjang yang telah dinyatakan baru-baru ini membuktikan kehadiran JDT ini telah berjaya memberi impak maksima ke atas atmosfera bola sepak tanah air dan benua Asia secara khususnya.

PENERAJU PENTINGNYA BERDIKARI

Siapa sangka? Selama ini tidak ada seorang pemerhati bola sepak, pakar bola sepak mahupun legenda bola sepak dalam negara mampu meramal JDT akan pergi sejauh ini. Namun tidak pada DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja kerana baginda memandang impian perjalanan kelab ini perlu melebihi langit.

Maka, tanpa bantuan atau menagih belas ehsan dana kerajaan, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah membina empayar kebanggaan ini dengan usaha dan keringat sendiri. Kerana kuatnya prinsip berdikari, kini JDT unggul berada dalam kelasnya tersendiri.

Selama ini kebanyakan pasukan percaya hanya dengan bergantung harap pada dana kerajaan merupakan talian hayat meneruskan kelangsungan persaingan. Kini setelah apa yang dibuktikan organisasi JDT, mereka mula sedar bahawa organisasi perlu memantapkan jenama dan berdikari. Lihat, tanpa JDT adakah kesedaran ini akan terjadi?

PENERAJU PERUBAHAN VISI PASUKAN

JDT telah mengejutkan pengurusan pasukan-pasukan dalam liga domestik dari keselesaan yang berpanjangan. Kewujudan JDT menyedarkan mereka bahawa persaingan bukan sahaja hanya tertumpu dalam negara sahaja.

Tanpa JDT, wajah liga domestik bukan seperti hari ini. Kemungkinan liga ini masih berada pada pemikiran yang jumud serta tidak berganjak dari tampuk yang sama seperti era 80 hingga 90-an. Stadium yang daif, kualiti lapangan padang yang menyedihkan, padang latihan yang serba kekurangan malah kebajikan pemain yang sering dipandang remeh.

Kini kebanyakan kelab dan pasukan di Liga domestik kini telah mula mempunyai kesedaran tersebut, dari pusat latihan, naiktaraf kemudahan stadium hinggalah jaminan pendapatan dan kontrak pemain ditambahbaik. Lihat, tanpa JDT adakah ini semua akan terjadi?

PENERAJU MEMECAH DOMINASI GERGASI

Siapa boleh jangka? Kelab dari liga yang diklasifikasikan sebagai liga bergred D ini mampu memecah dominasi kelab-kelab Asia timur tengah dalam Piala AFC 2015 sehingga melakar sejarah baharu bola sepak tanah air selepas muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Jelas JDT telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil jika kita sentiasa berfikiran positif dan berjuang dengan penuh kebanggaan. Lihat, tanpa JDT adakah semua ini boleh terjadi?

PENERAJU KEYAKINAN MAMPU BERSAING

Siapa tidak ternganga? Apabila Harimau Selatan dengan selesa memperkotak-katikkan serta memberi cabaran hebat hingga tamat kepada ketiga-tiga pasukan gergasi Asia termasuk juara bertahan dalam persaingan peringkat kumpulan Liga Juara-juara AFC (ACL) walaupun ianya adalah penyertaan kali pertama.

Rentetan prestasi memberangsangkan itu juga, nama Malaysia dikenali, pemain muda Malaysia juga menjadi bualan dan perhatian, malah liga Malaysia pula sudah mula menjadi tumpuan. Lihat, tanpa JDT adakah ini situasi ini akan terjadi?

PENERAJU PERSEPSI POSITIF PEMAIN LUAR NEGARA

Sejak dari dahulu lagi, pemain luar negara adalah penyeri serta penyebab utama menyemarakkan keghairahan penyokong untuk hadir ke stadium. Memiliki pemain-pemain terkenal beraksi dalam pasukan kesayangan adalah impian semua penyokong.

Tanpa paksi yang kukuh, semua ini tidak akan direalisasikan kerana pemain-pemain ternama ini amat cerewet mengenai jangka hayat perjalanan karier mereka. Namun dengan memiliki prasarana, fasiliti, infrastruktur, kestabilan kewangan serta kesempurnaan dalam pengendalian organisasi, tiada sebab untuk pemain-pemain ini menolak tawaran dari Harimau Selatan.

Imbas kembali, JDT berjaya membawa pemain bola sepak luar negara ternama yang masih berada dalam prestasi terbaik ke Malaysia seperti Daniel Guiza, Pablo Aimar, Luciano Figueroa dan Martin Juan Lucero. JDT juga berjaya dalam perebutan mendapatkan Diogo Luis Santo daripada kelab elit Liga Thailand Buriram United disaat pemain itu menjadi mesin gol utama bagi kelab tersebut.

Sesungguhnya JDT telah memperbaharui memori penyokong Malaysia yang selama ini hanya tersekat pada era kedatangan Tony Cotee dan Christopher Mark Kiwomya. Lihat, tanpa JDT adakah perkara ini akan kembali terjadi?

Akhir kata, kesimpulannya JDT adalah peneraju dalam sejarah baharu bola sepak Malaysia, JDT adalah peneraju dalam transformasi landskap bola sepak Malaysia, malah JDT adalah peneraju dalam mengubah persepsi, maruah serta martabat bola sepak Malaysia.

Tidak disangkal lagi, kerana JDT semua ini telah terjadi. Ya ! Seratus peratus benar, JDT THE PIONEER!

“Di sesetengah tempat di dunia ianya disebut sebagai motivasi. Sesetengah pula menyebut sebagai kesombongan. Sesetengah lagi memanggilnya kemegahan. Muhammad Ali, Peninju Terhebat Sepanjang Zaman pula pernah mengatakan, “Tak mengapa bermegah jika anda boleh membuktikannya”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja

Sumber artikel: Media JST

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121418"]