TIDAK RUNTUH LANGIT JIKA BELAJAR DARIPADA JDT

Disebalik persembahan terpuji skuad kebangsaan meskipun tewas kepada UAE, terselit satu komen yang panas dari pengendali UAE tentang keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dikatakan teruk dan merencatkan permainan.

Maka badan yang bertanggungjawab dalam urusan stadium, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mula mengeluarkan kenyataan mahu mendapatkan pakar dari Eropah dan Singapura bagi mengatasi masalah padang ini.

Mengapa kita perlu habiskan tenaga dan wang ringgit untuk belajar dengan ‘pakar’ di UK sedangkan di Malaysia kita ada pasukan JDT yang mempunyai padang bola sepak antara yang terbaik dalam negara.

Stadium Nasional Singapura juga mengalami masalah padang jadi mengapa kita perlu terhegeh- hegeh mendapatkan kepakaran dari mereka sedangkan anda akan melalui negeri Johor untuk ke Singapura.

Jangan malu belajar dengan JDT. Sebelum bergelar juara pelbagai piala, JDT juga belajar dengan pelbagai pasukan dalam mempersiapkan pasukan dan apa yang diperlukan untuk menjadi kelab bola yang profesional dan berjaya.

Jika JDT yang ditunjangi kerabat diraja tidak malu untuk bertanya dan belajar, mengapa PSM tidak mahu belajar bagaimana cara penjagaan padang dan jenis rumput yang digunakan di JDT. Jimat kos, tenaga dan pasti akan mendapat jawapan yang tepat kerana Johor dan Kuala Lumpur berkongsi cuaca yang sama.

Padang yang baik menjamin kualiti permainan yang baik dan berjaya mengelak kecederaan buat para pemain. Bukan hanya PSM yang harus belajar dari JDT tetapi semua pasukan yang bertanding.

Kepada pihak berwajib yang bakal menyelenggara padang Stadium Nasional Bukit Jalil, usahlah malu untuk belajar dan ingatlah tidak akan runtuh langit sekiranya anda belajar dengan JDT.

Sudah-sudahlah membazirkan duit untuk melancong ke Eropah atas tiket berjumpa pakar, sebaliknya gunakan sumber yang ada dengan belajar bersama yang terbaik dan sekaligus memberi nafas baharu kepada kualiti padang bola sepak di Malaysia. Fikir-fikirkanlah.

Kredit artikel: https://pageharimauselatan.com/tidak-runtuh-langit-jika-belajar-daripada-jdt/

Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll

[related_post themes="flat" id="121521"]